PUTRAJAYA - Selepas lebih 20 kali ditahan oleh pihak berkuasa, seorang wanita tanpa kerakyatan kini mampu menarik nafas lega apabila menerima sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan diri.
Hashimah yang baharu menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-40 pada 9 Januari lalu berkata, dia merancang untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik.
"Saya rasa sangat gembira dapat kad pengenalan biru, senang untuk kemudahan seperti mendapatkan rawatan di hospital, pekerjaan yang baharu dan boleh menunaikan umrah insya-ALLAH," katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini pada Jumaat.
Menceritakan liku-liku kehidupan selama 39 tahun, Hashimah berkata, dia dibesarkan di lima buah rumah kebajikan berbeza.
Ujar wanita itu lagi, ketiadaan kad pengenalan menyebabkan segala-galanya menjadi sukar.
"Saya tidak boleh mohon sebarang bantuan, ditahan beberapa hari di lokap kerana tidak memiliki pengenalan diri dan sebagainya," katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Hashimah sebagai warganegara.
Dia ditinggalkan ibu bapa ketika berusia tiga bulan semasa serbuan dilakukan pada tahun 1983.