Bekas eksekutif berdepan 10 tuduhan kemuka tuntutan palsu

Iklan
Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM selepas selesai sebutan kesnya Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat.

KUANTAN - Bekas eksekutif bahagian keselamatan dan kebakaran Petronas Chemicals MTBE dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat atas 10 tuduhan mengemukakan tuntutan palsu pembekalan peralatan keselamatan kebakaran berjumlah lebih RM320,000 kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hafez Manap, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Ramli di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan invois atas nama sebuah syarikat mengandungi butiran palsu bagi mendapatkan bayaran pembekalan peralatan keselamatan kebakaran yang tidak pernah dibekalkan.

Tertuduh didakwa membuat tuntutan dengan jumlah antara RM18,900 hingga RM41,760 dalam tempoh 26 Januari hingga 21 September 2021.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di Petronas Chemicals MTBE Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dengan hukuman mengikut Seksyen 24 akta sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000 mengikut yang paling tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ditawarkan ikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin bercagar selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan hingga kes selesai.

Dalam rayuan terhadap wang jaminan itu, Mohd Hafez merayu agar jumlah yang dikenakan dikurangkan dengan alasan tiada pekerjaaan selain terpaksa menanggung keluarga dan pelbagai komitmen lain.

Menurutnya, dia dibuang kerja selepas ditahan SPRM untuk siasatan berhubung kes itu dan tiada sumber pendapatan sejak setahun lalu.

Mengambil kira rayuan tertuduh, Ahmad Zamzani membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM60,000 bersama dua syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.