KULAI - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Parit Panjang dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki berusia 48 tahun itu maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.
"Pada jam 5.15 petang Khamis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima panggilan mengenai kemalangan terbabit.
"Hasil siasatan awal, kemalangan berkenaan disyaki berlaku apabila lori dari arah air Bemban menuju ke Plaza Tol Sedenak telah hilang kawalan dan melanggar sebuah motosikal dari arah yang sama.
"Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan maut di tempat kejadian dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat manakala pemandu lori yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Hasil ujian pernafasan SBA dan SDII yang dijalankan mendapati pemandu lori berkenaan positif minuman beralkohol dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 44, Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Beng Yeow berkata, permohonan reman terhadap pemandu lori berkenaan telah dikemukakan kepada Mahkamah Majistret Pontian dan direman selama empat hari mulai 3 Januari hingga 6 Januari.
"Selain itu, kenderaan-kenderaan terlibat akan dibawa ke pihak Puspakom Senai untuk siasatan lanjut" katanya.