POKOK SENA - Pasaraya Econsave tampil menghulurkan sumbangan keperluan kelengkapan rumah dan makanan kepada sebuah keluarga yang bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) di Desa Keda Batu 13, dekat sini.
Pengurus Besar Pasaraya Ecosave Bahagian Utara I, Zamzuri Mansor berkata, keluarga tersebut mendapat perhatian pihaknya selepas kisah mereka yang dihimpit kemiskinan mendapat liputan media baru-baru ini.
Menurutnya, empat beranak itu bergantung kepada bantuan JKM sebanyak RM500 sebulan dan menjadi tanggungjawab pasar raya untuk turut sama membantu melalui dana Econsave Prihatin bernilai RM1,000.
"Sumbangan ini adalah dana daripada Econsave Prihatin berupa barangan keperluan harian dan diharapkan dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga ini. Rezeki dikongsi bersama, kita membantu masyarakat yang berada di sekitar pasar raya.
"Kita dapat maklumat tentang keluarga ini dari media dan menziarahi keluarga ini sebelum memutuskan menyerahkan sumbangan kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyerahkan sumbangan tersebut di Desa Keda Batu 13, dekat sini.
Hadir sama Pengerusi 4P Keda Batu 13 Pokok Sena, Huzair Muhamad dan beberapa ahli jawatankuasanya serta Pengurus Pasaraya Econsave Cawangan Pokok Sena, B Devanathan.
Media sebelum ini melaporkan Hashim Ahmad, 87, dan isteri, Basarah Mohamad, 65, serta anak dan ibu mentuanya kini bergantung hidup bantuan JKM sebanyak RM500 sebulan.
Anaknya, Nor Pahanisha, 30, pula terlibat kemalangan jalan raya dua bulan menyebabkannya patah kaki, namun kini sudah beransur pulih manakala ibu mentua, Fatimah Man, 84 diuji dengan masalah kesihatan.
Bagaimanapun, pengurusan 4P Keda Batu 13 Pokok Sena bersama jiran berdekatan rumah mereka banyak membantu meringankan beban keluarga itu.
Mengulas lanjut Zamzuri berkata, dana Econsave Prihatin tersebut berjalan sepanjang tahun dan sumbangan akan dihulurkan kepada mereka yang layak.
Menurutnya, selain individu, pasar raya itu juga menyerahkan sumbangan kepada mereka yang tinggal berkelompok seperti pusat jagaan anak yatim, tahfiz dan banyak lagi.
"Kita mengalu-alukan kerjasama dengan 4P Keda Batu 13 Pokok Sena untuk mengadakan pelbagai aktiviti dengan komuniti di sini. Econsave sudah beberapa kali turun ke penempatan ini menyampaikan sumbangan yang sama kepada penghuninya yang diuji dengan kesusahan dan memerlukan perhatian,” ujarnya lagi.