Rugi hampir RM5 juta, tertipu sindiket guna nama tokoh terkenal

Iklan
Hishamuddin (tiga dari kiri) pada sidang media mengenai kes penipuan aplikasi e-Ganjaran di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menggunakan nama-nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan, menyebabkan ramai terpedaya hingga kerugian lebih RM4.6 juta, selepas menyertai skim penipuan aplikasi e-ganjaran (ganjaran dalam talian) yang menawarkan baucer sehingga 50 peratus sejak 2018.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini, kira-kira 100 orang mangsa telah membuat laporan polis dan pihaknya percaya ramai lagi mangsa yang terlibat dengan lebih lagi jumlah kerugian.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, selain daripada tokoh-tokoh terkenal, sindiket yang menawarkan perkhidmatan baucer atau e-ganjaran itu, turut melibatkan pelbagai jenama terkenal antaranya Petronas atau Shell.

"Sindiket ini menawarkan orang ramai satu bentuk pelaburan, yang menawarkan mereka ganjaran atau baucer yang memberi mereka penjimatan sehingga 50 peratus. Kebanyakan vendor atau peniaga yang bersama dengan sindiket ini, terdiri daripada mereka yang mempunyai reputasi yang baik.

Iklan

"Apa yang berlaku, ramai yang menyertai skim ini membeli baucer ini dan mereka beranggapan daripada pembelian baucer ini, mereka akan dapat subsidi serta diskaun pembelian barangan,” katanya dalam sidang media di hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, modus operandi sindiket ini ialah pengguna dikehendaki membeli baucer yang dikenali sebagai (QV), dengan pembayaran bagi baucar ini perlu dibeli melalui FPX online dan setelah membeli QV pada waktu promosi, mereka akan diberi ganjaran dalam bentuk baucar subsidi dikenali sebagai SV.

Iklan

"Pengguna kemudian berbelanja dengan QV pada jumlah tertentu yang akan diberi ganjaran SV. Mangsa lebih tertarik dengan aplikasi ini apabila QV dan SV ini boleh digunakan untuk membeli barang atau perkhidmatan yang tersedia di dalam aplikasi itu, dengan penjimatan sehingga 50 peratus.

"Malangnya, setelah ramai yang membeli, pada April tahun lepas, syarikat ini secara tiba-tiba menghentikan aplikasi mereka tanpa sebarang alasan munasabah. Semua baucer dalam ‘wallet’ aplikasi tersebut lesap, hilang begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, ini merupakan satu penipuan dan memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat, serta mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat yang menggunakan nama-nama orang kenamaan, bagi menarik orang ramai menyertai sindiket ini.

Seorang mangsa yang ingin dikenali sebagai Rafiq dari Marang, Terengganu menjelaskan, beliau tertarik dengan penawaran e-ganjaran tersebut kerana diskaun yang diberikan, selain diberi keyakinan oleh seorang pendakwah bahawa hukum pelaburan tersebut adalah harus.

"Apabila ditanya sebegitu, kita lagi bertambah yakin dengan skim e-ganjaran ini tanpa was-was. Ramai orang kenamaan ada dalam sindiket ini.

"Saya banyak gunakan untuk beli barang keperluan rumah dan perkakas untuk binaan rumah kerana dapat penjimatan. Saya kehilangan kira-kira RM70,000 sejak menyertainya pada akhir tahun 2021,” katanya. - Bernama