SHAH ALAM - Seorang ibu yang disahkan menghidap barah limfoma selepas melahirkan anak sulungnya, baru-baru ini mendapat perhatian dan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS dalam satu kenyataan memaklumkan wanita terbabit dimaklumkan menghidap barah limfoma tahap empat dan kini telah merebak ke bahagian tulang belakangnya pula.
Iklan
Iklan
"Beberapa minggu beliau menerima rawatan di hospital dengan kudrat semakin lemah ketika itu, sekelip mata semuanya berubah, majikan tempatnya bekerja juga mengambil tindakan memaksanya berhenti kerja," kata LZS di laman Facebooknya.
Berikutan itu, agensi itu memaklumkan, pihak LZS tampil membantu melunaskan tunggakan bil hospital serta kos perubatan lain dan peralatan yang disyorkan oleh pakar perubatan.
Dalam masa sama, LZS turut memberikan khidmat nasihat serta motivasi untuk menaikkan kembali semangat wanita berkenaan agar terus kuat melawan barah.
"Pesakit sepertinya sangat memerlukan rawatan pemulihan bukan sekadar rawatan perubatan. Jiwanya serta motivasi diri perlu dipertingkatkan daripada sokongan padu keluarga dan rakan-rakan.
"Kami sebutkan padanya zakat hanya membantu melunaskan keperluan perubatannya, selebihnya kami ingin melihat senyumannya terus terukir demi suami dan anak, dia perlu kuat lawan kanser dan bangkit untuk menjadi 'cancer fighter'," kata kenyataan.