KUANTAN - Sebuah syarikat besi dan keluli didenda RM25,000 Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat atas kecuaian menyebabkan kematian pekerja pada 8 Februari tahun lalu.
Hakim Maimoonah Aid menjatuhkan hukuman itu selepas wakil kepada syarikat terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan.
Iklan
Iklan
Berdasarkan pertuduhan, syarikat itu didapati gagal untuk mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja membaik pulih lantai kabin operator 'coke wet quenching machine' di tempat tinggi sehingga mengakibatkan kemalangan maut kepada pekerjanya
Kejadian itu berlaku di kawasan coke wet quenching, coking plant di syarikat terbabit, jam 2.20 petang pada 8 Februari 2022.
Syarikat terbabit didapati bersalah mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum bawah Seksyen 19 akta yang sama.
Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang dikendalikan Nik Muhammad Nazif Tuan Sinuzula manakala siasatan terhadap kes dijalankan oleh pegawai penyiasat JKKP Pahang, Mohd Zamadi Mat Lodin.
Sehubungan itu, JKKP berharap kes sedemikian dapat memberi pengajaran kepada majikan dan pekerja untuk patuh kepada undang-undang demi memelihara kepentingan awam dan keselamatan pekerja.