KUALA LUMPUR - Pekerja penghantar makanan bermotosikal meluahkan rasa dianiaya kerana mendakwa kadar upah yang diterima mereka semakin kecil.
Mereka mendakwa, ia berlaku sejak langkah pembesaran zon kawasan bekerja dilaksanakan syarikat terbabit Isnin lalu mengakibatkan pendapatan yang diterima semakin berkurangan.
Seorang penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Hazim, 20, berkata, masalah timbul apabila seseorang penghantar makanan itu perlu menghantar makanan ke lokasi yang lebih jauh berbanding sebelum ini.
"Kadar bayaran yang tak setimpal ditambah dengan lokasi jauh sekali gus memberikan kesan dari segi kos kepada penghantar makanan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerah memorandum bersama kira-kira 100 pekerja di hadapan syarikat terbabit di Jalan Chan Sow Lin pada Jumaat.
Tambah Hazim, langkah pembesaran zon ini dilihat baik bagi menambah pendapatan penghantar makanan namun perlu selari dengan upah yang diterima.
Ujarnya, mereka tidak kisah sekiranya perlu menghantar di lokasi yang lebih jauh asalkan upah yang diterima berbaloi, pelbagai perkara perlu diambil kira seperti kos minyak, penyelenggaraan motosikal dan sebagainya.
Selain itu, Zaim Bakar, 36, berkata, pendapatan yang diperoleh turut berkurangan gara-gara pelaksanaan kaedah terbaharu syarikat terbabit.
"Ada antara kami ini menjadikan penghantar makanan sebagai pekerjaan tetap, jadi bila upah diterima kurang, memang ia sesuatu yang amat membebankan untuk kami menanggung keperluan keluarga," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Strategik Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Bryan Ng berkata, pihaknya bersama wakil pekerja servis penghantar makanan bermotosikal hadir bagi menyerahkan memorandum berkaitan isu terbabit.
"Setakat ini, maklum balas yang diterima positif dan dimaklumkan pihak syarikat terbabit akan meneliti isu berkaitan persempadanan zon yang diperluaskan dan upah yang diterima penghantar makanan.
"Kita turut mengemukakan agar satu insentif kepada penghantar makanan diperkenalkan bagi mengurangkan beban yang perlu ditanggung mereka," ujarnya.