Dua penjenayah ditahan selepas dua jam merompak

Iklan
Hanyan (tengah) menunjukkan antara barang kes yang dirampas susulan penahanan dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai serbaneka di Bandari Chukai, di Kemaman.

KEMAMAN - Polis Kemaman berjaya menahan dua penjenayah kira-kira dua jam selepas mereka melakukan rompakan ke atas sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di Bandar Chukai, di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 pagi di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah rumah dan bengkel di daerah tersebut.

Iklan
Iklan

"Maklumat mengenai suspek diperoleh melalui bantuan kamera litar tertutup (CCTV) dan orang awam yang ketika itu berada di sekitar premis berkenaan.

"Ketika ditahan, suspek yang juga pekerja di sebuah pusat hiburan di Bandar Chukai itu sedang melupuskan barang kes," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Menurut Hanya, sewaktu kejadian, pengusaha kedai serbaneka itu berada di depan kedai bersama dua lagi rakan sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal kira-kira jam 1.45 pagi.

"Salah seorang suspek mengacukan sebilah pisau dan seorang lagi mengeluarkan objek menyerupai pistol sambil meluru ke arah mangsa dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam kedai serta mengunci pintu sebelum menggeledah kaunter wang dan mengambil wang tunai sebanyak RM2,000.

Iklan

"Selain itu suspek turut merampas beg silang mangsa yang mengandungi wang tunai RM4,000, tiga buah telefon bimbit, dokumen peribadi dan kad bank. Suspek juga bertindak mencabut CCTV bagi mengelak dikesan," katanya.

Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan susulan kejadian itu.

Dalam pada itu, Hanyan memberitahu, ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes rogol dan dadah.

Katanya, dua lelaki itu direman selama tujuh hari bermula Khamis sehingga 8 Februari depan dan disiasat dibawah Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan.

"Tangkapan ke atas suspek membawa kepada penemuan barang-barang kes bagi membantu siasatan.

"Kita percaya, susulan penahan suspek pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes rompakan berkumpulan bersenjata yang dilaporkan berlaku di bandar ini," ujar beliau.

Hanyan berkata, pada Oktober 2022 hingga akhir Januari tahun ini terdapat beberapa kes samun kedai serbaneka yang dilaporkan berlaku antara jam 11 malam hingga 4 pagi di sekitar bandar itu.