Malaysia berpotensi jadi hab automotif pasaran ASEAN

Iklan
Tengku Zafrul - Foto Bernama
ALOR SETAR - Malaysia boleh menjadi hab automotif bagi pasaran ASEAN, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, potensi tersebut telah menarik pelabur dan syarikat seperti Porsche, KIA, Hyundai, Mini Cooper, Mazda dan BMW untuk memulakan operasi masing-masing di Malaysia.

"Asia Tenggara menawarkan potensi pertumbuhan yang baik dan dengan polisi serta ekosistem yang baik, Malaysia boleh menjadi hab automotif bagi pasaran ASEAN," katanya menerusi catatan di akaun Facebooknya pada Jumaat.

Menerusi catatan itu, Tengku Zafrul turut berkongsi beberapa keping gambar lawatannya ke syarikat pemasangan kereta, Inokom Corporation Sdn Bhd di Kulim, Kedah.

Beliau berkata, ramai anak tempatan yang berkemahiran bekerja di syarikat itu dan kerajaan akan memberi fokus kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar lebih ramai rakyat negara ini boleh meningkatkan kemahiran masing-masing.

"Ia bagi memanfaatkan pelaburan dan perkembangan industri di negara ini," katanya.

Sebelum itu, Tengku Zafrul turut mengadakan kunjungan ke atas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, di sini.

Tengku Zafrul berkata, beliau berada di Kedah bagi melawat beberapa industri di negeri itu. - Bernama