Malaysia, Sweden setuju teruskan usaha perangi Islamofobia

Iklan
Mohd Na’im
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Sweden bersetuju meneruskan usaha bersama bagi memerangi Islamofobia dan apa jua bentuk diskriminasi lain, selain meneroka pelbagai cara untuk saling bekerjasama secara toleransi, aman dan damai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu antara yang dipersetujui dalam pertemuannya dengan Duta Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom pada Jumaat susulan insiden membakar naskah al-Quran di Sweden baru-baru ini.

Katanya, dalam pertemuan itu, beliau juga mengulangi kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia mengutuk dan mengecam perbuatan berkenaan, selain menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil langkah serta tindakan sewajarnya terhadap pelaku perbuatan keji itu.

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memastikan perkara seumpamanya tidak berulang, memandangkan kebebasan bersuara bukan bermakna kebebasan untuk menghina prinsip dan kehormatan sesebuah agama.

"Duta Sweden mengulangi pendirian berkenaan kedudukan kerajaan Sweden berhubung provokasi Islamofobia ini dan perbuatan membakar kitab suci al-Quran merupakan suatu tindakan keterlaluan dan tidak menghormati agama,” katanya dalam kenyataan pada malam Jumaat.

Menurutnya, Bergstrom juga memaklumkan kerajaan Sweden akan meningkatkan usaha membendung Islamofobia, perkauman dan diskriminasi melalui pelbagai dasar dan inisiatif dalam mengukuhkan demokrasi.

"Kerajaan Sweden akan berganding bahu di dalam negara dan peringkat antarabangsa untuk menganjurkan dialog antara agama serta keamanan pelbagai kaum,” katanya.

Mohd Na’im berkata, perlembagaan kerajaan Sweden juga melindungi hak kebebasan beragama dan kebebasan bersuara dan kedua-duanya adalah perkara asas dalam demokrasi.

Rasmus Paludan, pemimpin parti pelampau kanan Denmark, Stram Kurs dibenarkan membakar al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm pada 21 Jan lepas yang membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. - Bernama