Peniaga tiada pilihan, terpaksa naikkan harga

Iklan
Azman yang berniaga sayur di pasar besar Seremban turut terbeban dengan kenaikan harga bahan mentah itu di pasaran ketika ini.

SEREMBAN - Kenaikan harga beberapa jenis sayur yang didakwa melonjak sejak sebulan lalu diakui peniaga sayur di pasar besar di sini sehingga mereka meluahkan rasa terhimpit dengan keadaan tersebut.

Malah mereka juga turut menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan sewajarnya susulan tidak mahu pelanggan salah faham sekali gus mengelakkan mereka dilabel cekik darah.

Iklan
Iklan

Menurut Azman Baharin, 63, yang berniaga sayur sejak enam tahun lalu, kenaikan harga sayur-sayuran amat merunsingkan.

"Pembekal maklumkan terpaksa mengikut harga pasar borong sana selain mengambil kira faktor cuaca ketika ini. Keadaan ini kita tak boleh kawal, tetapi apa boleh buat.

Iklan

"Kita kesian juga pada pelanggan, tetapi peniaga kecil macam saya ini pun bukan boleh untung besar. Tidak tahulah nak luah pada siapa lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi peniaga, Sinar Sarifudin, 43, dari Sikamat mengakui harga bendi dan kacang panjang sebelum ini hanya RM6 sekilogram, tetapi meningkat kepada RM16 dan RM12.

Iklan

"Begitu juga dengan harga tomato, sekarang boleh cecah RM11 sekilogram berbanding sebelumnya sekitar RM5 hingga RM6 sekilogram.

Peniaga Pasar Besar Seremban meluahkan rasa terhimpit ekoran kenaikan harga sayur.

"Kita akur dengan harga yang diberikan oleh pembekal dan pemborong sebab kita pun cari makan juga walaupun untungnya tidak seberapa, ia demi kelangsungan hidup,” katanya.

Seorang suri rumah, Siti Syainul Hashim, 55, pula berkata, setiap kali ke pasar antara barangan yang banyak dibeli adalah sayur-sayuran.

Sebagai pengguna, katanya, kenaikan harga ini melampau, tetapi terpaksa juga membeli kerana ia keperluan.

"Kami anak-beranak suka makan sayur, tetapi harga sayur sudah naik ini, makin kuranglah sikit beli namun sayur kampung dan ulam masih menjadi pilihan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa harga sayur-sayuran meningkat sehingga 160 peratus sejak sebulan lalu.

Jelas Presidennya, Mohideen Abdul Kader situasi itu akan bertambah rumit susulan, pihaknya menerima aduan daripada peruncit yang mendakwa pengedar dan pemborong memberi amaran bahawa harga sayur dijangka meningkat lagi beberapa minggu akan datang.