Tidak mahu judi ekor ganggu keharmonian kejiranan

Iklan
Aduan berkaitan kegiatan judi didakwa berlaku.
KOTA BHARU - Penduduk di Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini tidak mahu kegiatan judi ekor berleluasa dan menjejaskan keharmonian kejiranan mereka.

Seorang pesara kerajaan berusia 66 tahun yang ditemui Sinar Harian berkata, penduduk pernah melihat urusan jual beli nombor judi yang ditulis pada kertas dilakukan oleh individu tidak dikenali dari kawasan lain di kawasan kampung mereka.

"Mereka ini guna pelbagai cara sama ada datang bersendirian menggunakan motosikal untuk menjual nombor kepada pelanggan serendah RM2, puluhan ringgit sehingga RM 100.

Iklan
Iklan

"Ada juga yang berniaga kedai makan atau kedai telekomunikasi tetapi pada masa sama menjadi ejen menjual nombor ekor,” katanya di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, tular aduan yang dimuat naik di Twitter rasmi Badan Pemantauan Jenayah (MyWatch) daripada seorang individu mendakwa kegiatan judi berlaku di sebuah kawasan kejiranan di Pengkalan Chepa yang berselindung di sebalik perniagaan telekomunikasi.

Iklan

Penduduk warga emas tersebut memberitahu lagi, kebanyakan penduduk tidak berani untuk mencampuri urusan pihak tidak bermoral terbabit kerana bimbang mengancam keselamatan diri dan keluarga.

"Kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak tegas supaya keharmonian kampung tidak terjejas.

Iklan

"Kampung ini ada beberapa surau dan masjid, tidak wajar jika benar-benar ada kegiatan judi yang berlaku,” katanya.

Seorang peminat tegar judi nombor ekor haram yang mahu dikenali sebagai Lah, 46, berkata, sudah beralih ke permainan judi dalam talian seiring dengan ledakan teknologi yang lebih ‘selamat’ daripada dicekup polis atau pihak berkuasa agama bagi orang Islam.

"Biasanya kaki ekor yang agak berusia dan orang kampung yang tidak pandai menggunakan aplikasi judi dalam talian di telefon bimbit sahaja masih berurusan menggunakan kaedah lama.

"Kaki judi tak mengira usia, pekerjaan dan pangkat. Kalau dah terjebak judi, akan ketagih,” katanya.

Sementara itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan memaklumkan akan menjalankan risikan berhubungan aduan itu.