AMPANG - Penjimatan sehingga RM50 bagi pembelian barangan asas di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) menyebabkan program tersebut sentiasa sesak diserbu orang awam.
Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Ir Izham Hashim berkata, orang ramai sanggup datang awal dan beratur panjang walaupun kaunter jualan hanya dibuka jam 10 pagi.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) sentiasa ditambah baik dan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mengatasi permasalahan tersebut.
"Antara kaedah dilakukan termasuk penyediaan kerusi dan khemah di ruang menunggu selain lorong khas bagi warga emas serta ibu mengandung.
"Program yang dijalankan di sembilan lokasi sehari menyebabkan PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) tidak mampu menyediakan kaunter yang lebih susulan kekangan tenaga kerja," katanya ketika Majlis Pelancaran JER 2.0 di Dewan Komuniti Taman Nirwana di sini pada Sabtu.
Tinjauan di lokasi mendapati orang ramai beratur panjang bagi menunggu giliran membeli enam barangan keperluan asas ditawarkan dengan harga murah terdiri ayam, telur, beras, ikan, daging dan minyak.
Izham berkata, penetapan jualan bermula jam 10 pagi dibuat bagi memudahkan PKPS membuat persediaan barangan.
Dalam pada itu, Izham berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM20 juta bagi meneruskan siri JER 2.0 berbanding RM12 juta pada tahun lepas.
Katanya, program intervensi babitkan jualan barangan asas yang menawarkan diskaun 30 peratus daripada harga pasaran tersebut diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos barangan selepas pasca pandemik Covid-19.
**media[2080659]*"Awalnya kita mulakan dengan jualan ayam dan telur sahaja sebelum ditambah empat lagi barangan asas iaitu ikan, minyak, daging dan beras.
"Tahun lepas kita berjaya buat di 711 lokasi dan tahun ini sasaran ditambah kepada 1,200 lokasi seluruh Selangor.
"Program dijangka selesai Mei depan sebelum penelitian semula akan dibuat sama ada program akan diteruskan atau sebaliknya," katanya.