JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti 2023.
Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan tersebut selepas Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor.
"Saya menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden UMNO kerana itulah jawatan yang boleh dipertandingkan pada waktu ini.
"Saya percaya ramai tokoh lain termasuk penyandang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan pertahan dan bertanding jawatan itu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor di Pejabat UMNO negeri pada Sabtu.
Pada 27 Januari lalu, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi UMNO Johor oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, selepas menjawat jawatan itu selama lima tahun.
Jawatan tersebut seterusnya diganti Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada Jumaat, Mohamed Khaled dilaporkan mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada Pemilihan UMNO 2023.
Pemilihan UMNO 2023 diadakan bermula pada 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan diadakan pada 1 hingga 26 Februari ini.
Sementara mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.
Ditanya mengenai sekurang-kurangnya 10 pemimpin dijangka menawarkan diri mempertahan dan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, Hasni menjelaskan ia membuktikan UMNO masih menjadi pilihan pemimpin.
"Dikatakan ada 10 penjuru pertandingan jawatan Naib Presiden membuktikan walau apa jua dikata orang terhadap UMNO termasuk ditolak masyarakat dan tidak relevan, namun ia terus jadi pilihan.
"Walau apa jua dikata terhadap UMNO, saya masih yakin parti mampu bangkit dan jadi wadah perjuangan pada agama, masyarakat dan negara," katanya.