PKR Perak muktamadkan segera senarai lantikan politik

Iklan
Mohd Azlan Helmi (kanan) melepaskan kumpulan konvoi sempena Karnival Wow Perak FM di Arena Tualang Sekah pada Sabtu.

KAMPAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak akan memuktamadkan segera senarai nama individu yang akan dilantik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua kampung di negeri ini.

Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, pemilihan individu yang akan mengisi kekosongan ini perlu dibuat segera bagi memastikan kelancaran pentadbiran di peringkat akar umbi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, senarai nama akhir akan ditentukan oleh pimpinan parti di peringkat negeri sebelum dibawa ke peringkat Pakatan Harapan (PH) Perak.

"Kita ada tetapkan kriteria tertentu (untuk lantikan), namun yang terakhir ia terpulang kepada pucuk tertinggi parti dan PH Perak sebab kita sebagai satu komponen. Kita memang bersedia andai diberi ruang jika ada kekosongan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Wow Perak FM di Arena Tualang Sekah di sini pada Sabtu.

Iklan

Mohd Azlan Helmi yang juga Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak berkata, pemilihan bagi nama-nama untuk mengisi kekosongan di dalam GLC diuruskan oleh Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri.

Jelasnya, bagi ahli majlis PBT pula dikendalikan Pengarah Komunikasi PKR Perak, Sandrea Ng Shy Ching yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak.

Iklan

Sementara itu, mengenai program karnival berkenaan, Mohd Azlan Helmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah menjelaskan penganjurannya bertujuan mendekatkan agensi dengan masyarakat setempat.

Menurutnya, hujung minggu dapat dimanfaatkan penduduk setempat untuk mengetahui pelbagai peluang dan kemudahan disediakan jabatan kerajaan untuk rakyat.