[VIDEO] 'Beri peluang kepada Hishammuddin, Maulizan'

Iklan
Mohamed Khaled (depan) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO Johor di bangunan UMNO negeri pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - UMNO Johor meminta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memberi peluang kepada ahli dan pimpinan parti dari negeri ini yang digantung untuk merayu dan seterusnya kembali ke pangkuan parti.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata UMNO Johor akur dengan keputusan MKT menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang selama enam tahun.

Iklan
Iklan

"Maka UMNO Johor bersetuju supaya kedua-dua pemimpin ini wajar diberikan peluang merayu atas tindakan yang dikenakan itu," katanya pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO negeri di bangunan UMNO Johor pada Sabtu.

Pada 27 Januari lalu, MKT menggantung keahlian selama enam tahun bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Iklan

MKT turut bertindak memecat lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Mohamed Khaled berkata tindakan disiplin dan penggantungan oleh MKT itu tidak akan menjejaskan UMNO Johor memandangkan beberapa pimpinan UMNO negeri sebelum ini telah berdepan tindakan yang sama.

Iklan

Tegasnya, individu yang digantung tidak boleh berputus asa kerana sekiranya usaha dilakukan seperti membuat rayuan tempoh penggantungan akan dipendekkan.

"Ini bukan kali pertama pimpinan UMNO Johor digantung atau dikenakan tindakan displin. Di Johor, kita telah pun laluinya sebelum ini tetapi UMNO Johor terus melaksanakan tanggungjawab dan tidak berdepan kekangan sehingga menyebabkan parti tidak dapat bergerak.

"Namun yang lebih penting, mereka yang dikenakan tindakan itu sebahagian besarnya kembali semula kepada UMNO antaranya Tan Sri Shahrir Ab Samad dan Muszaidi Makmor yang kini merupakan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi.

"Kita percaya jika ada usaha dibuat, pastinya penggantungan dapat dipendekkan sebagaimana yang berlaku pada Datuk Lokman Nor Adam. Tidak boleh putus asa, kerana ia bukan penamat karier politik," katanya.