'Mati dah aku, mati dah aku...'

Iklan
Mayaki menunjukkan penutup tong ikan yang digunakan untuk terapung di laut dan bersyukur dia terselamat selepas terapung sembilan jam di lautan.
BACHOK -"Mati dah aku, mati dah aku.” Itu rintihan seorang penjaga unjam warganegara Thailand ketika terapung selama sembilan jam di tengah lautan apabila bot dinaikinya karam dihempas ombak di perairan Kemasin dekat sini pada Jumaat.

Bapa tiga anak itu, Mayaki Mat Min, 37, berkata, dia hanya mampu menumpang nyawa dengan berpaut pada penutup tong ikan yang hanyut dalam kejadian pada jam 8 pagi itu.

Menurutnya, sebelum itu, dia keluar dari Jeti Pangkalan Petah dalam keadaan cuaca baik dengan menaiki bot lampu kelas C sejauh 16 batu nautika pada jam 11 pagi Khamis dan bermalam di dalam bot tersebut.

Iklan
Iklan
Mayaki (kanan) menceritakan kejadian dialaminya ketika bot karam kepada Jarhan pada Sabtu.

"Secara tiba-tiba pada pagi itu berlaku angin kencang bersama hujan lebat dan ombak bertubi-tubi menghempas bot hingga terhuyung-hayang.

Bot bernilai RM100,000 itu kemudian tenggelam sepenuhnya manakala dia terpaksa berenang sekuat hati mencapai penutup tong ikan yang hanyut sambil dilambung ombak setinggi 0.9 meter di tengah lautan.

Iklan

"Saya terdengar bunyi enjin bot lain yang datang dan menjerit meminta tolong tetapi gagal kerana saya sudah kehabisan tenaga.

"Masa tu, nak melambai tangan pun dah tak larat dan beranggapan saya akan mati,” ujarnya.

Iklan

Bagaimanapun, Mayaki bernasib baik apabila dia dijumpai dan diselamatkan oleh nelayan bot lain yang kemudian membawanya ke jeti di Tok Bali, Pasir Puteh sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.

Mayaki menunjukkan contoh bot lampu yang dinaikinya tenggelam dalam kejadian bot karam pada Sabtu.

Dia masih trauma mengingatkan insiden itu yang pertama kali berlaku seumur hidupnya setelah empat tahun bekerja dengan seorang tauke bot tempatan, Jarhan Norzailan, 27, selain hilang kesemua dokumen diri dan pasport.

Mayaki bersyukur terselamat selepas terapung sembilan jam di lautan.