Penuntut UniKL dipercayai sesat ketika mendaki Pulau Mawar

Iklan
Anggota APM Mersing melakukan pencarian mangsa yang masih belum ditemui di sekitar Pulau Mawar, Endau, Mersing pada Sabtu. (Gamabr dalam : Laporan Sinar Harian.)

MERSING - Penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taman Makmur, Kluang sejak Rabu dipercayai sesat semasa melakukan aktiviti pendakian di Pulau Mawar, Endau dekat sini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing, Lt M (PA) Muhamad Syafiq Mohamad Sabri berkata, perkara itu dimaklumkan oleh seorang orang awam yang bertemu mangsa, Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 20, sebelum hilang pada jam 6 petang Rabu.

Iklan
Iklan

"Saksi memberitahu pihak APM bahawa mangsa ingin masuk ke Pulau Mawar tanpa arah tuju. Mangsa kemudian beredar dengan meninggalkan sebuah motosikal di kawasan tempat kejadian.

"APM berpendapat mangsa hilang dan sesat di pulau tersebut. Perjalanan yang diambil dari Jeti Mersing ke pulau berkenaan kira-kira 30 minit," katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Iklan

Muhamad Akmal yang sedang menjalani cuti semester selama sebulan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave 125 warna merah.

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, bapa mangsa, Ishak Kamis, 50-an membuat laporan di Balai Polis Kluang pada Jumaat dan anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing turut menerima laporan tentang penemuan motosikal milik mangsa juga pada hari yang sama.

Iklan

Abdul Razak berkata, anggota Balai Polis Endau kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati motosikal berkenaan milik mangsa dalam keadaan baik dan berkunci sebelum dibawa ke balai polis berkenaan.

Usaha bapa mangsa menghubungi penuntut UniKL berkenaan tidak berhasil sehingga kini.

Dalam pada itu, Muhamad Syafiq berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kedua pada Sabtu melibatkan lima agensi iaitu anggota polis, bomba, APM, Majlis Daerah Mersing dan malim gunung.

Menurut beliau, mangsa belum ditemui dan operasi berkenaan masih diteruskan sehingga kini.

"Bagaimanapun sebarang aktiviti di pulau berkenaan ditutup sementara kerana operasi SAR sedang dilakukan," katanya.