Penduduk resah, gajah liar muncul kembali

Iklan
Haiwan liar itu turut memusnahkan tanaman ubi kayu di Kampung Simoi Baru sejak beberapa hari lalu

LIPIS - Kira-kira 300 penduduk di Kampung Simoi Baru, dekat Pos Betau di sini kembali resah berikutan seekor gajah liar kembali menyerang perkampungan tersebut sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini, penduduk digemparkan dengan serangan haiwan liar tersebut yang telah menceroboh kediaman serta memijak seorang wanita, Wak Angkat Yok Tong, 39, sehingga maut pada 6 Disember tahun lalu.

Iklan
Iklan

Sudah hampir dua bulan haiwan liar itu bersembunyi di habitat Hutan Simpan Ulu Jelai selepas diburu dan dipantau pergerakannya oleh renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Seorang penduduk, Norfini Ajik,46, berkata, mengakui dia dan kelurganya tidak dapat tidur lena sejak Selasa lalu kerana memikirkan kehadiran haiwan liar tersebut.

Iklan

"Saya takut dan berjaga hingga ke waktu pagi setelah mengetahui gajah liar masuk semula dan paling takut sekiranya haiwan ini akan datang mendekati dan menggoyangkan rumah saya.

"Lagi pun jarak rumah dengan mangsa sebelum ini tidak jauh mana dan risau jika benda sama berlaku lagi," kata Norfini.

Iklan
Pokok pinang yang turut rosak akibat kehadiran gajah liar tersebut.

Bagi Bah Liput, 65, pula berkata, penduduk alami kerugian kerana hasil tanaman sayuran komersial banyak yang sudah dicabut dan rosak termasuk pokok tebu, pokok getah dan pokok durian muda.

"Sekiranya gajah liar ini datang lagi kami terpaksa berjaga demi keselamatan keluarga kerana haiwan liar ini kemungkinan akan mendekati kediaman penduduk," katanya.

Tambah Bah lagi, penduduk juga tidak tahu hendak berpindah ke mana lagi kerana kampung tersebut sudah lama dibuka sejak didiami orang tua mereka lebih 50 tahun lalu.

Sementara itu, Tok Batin kampung tersebut, Batin Bah Jong Kerang memberitahu, mereka kini mengambil langkah berjaga-jaga susulan serangan haiwan liar itu khususnya terhadap tanaman penduduk yang berlaku setiap malam.

"Hasil tanaman kami seperti pokok pisang, tebu, getah, durian muda, lada, serai serta sayuran habis musnah dipulas, dipatah dan dicabut. Mana-mana tanaman yang tidak boleh dimakan dibiarkan dan terus rosak.

"Gajah liar ini bersembunyi di hutan berdekatan masuk pada waktu malam dengan memusnahkan tanaman berkenaan dan paling membimbangkan penduduk di sini sekiranya haiwan ini menceroboh kediaman," jelasnya.