IPOH - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menawarkan penangguhan bayaran balik pembiayaan (moratorium) selama tiga bulan kepada koperasi yang terkesan dengan banjir di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, tempoh moratorium Tabung Modal Pusingan SKM itu bermula 1 Januari sehingga 31 Mac ini khusus koperasi yang terkesan banjir pada 9 hingga 31 Disember 2022.
"Kita bersetuju untuk berikan moratorium sehingga tiga bulan kepada koperasi ini supaya mereka dapat fokus lebih besar kesan daripada banjir.
"Pinjaman boleh dibuat selepas tiga bulan. Koperasi terlibat boleh memohon kepada SKM khas untuk mereka yang mana premisnya terkesan banjir," katanya kepada pemberita pada program Sesi Sembang Santai Bersama Masyarakat Orang Asli Perak di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak di Simpang Pulai di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Koperasi Orang Asli Perak Berhad, Datuk Suki Mee; Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Zamri Salleh dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Rusli Jaafar.
"Jumlah kutipan modal syer terkumpul sebanyak RM352,000 selain aset bernilai RM1.32 juta dan perolehan sehingga Jun 2022 mencatatkan RM1.29 juta.
"Ini menunjukkan sosio ekonomi komuniti ini berjaya ditingkatkan di negeri ini. Koperasi adalah satu pendekatan yang efektif bagi merangsang pembangunan usahawan bagi komuniti Orang Asli," katanya.