SHAH ALAM - Bahan bacaan berkualiti terbitan Kumpulan Karangkraf membuatkan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf 2023.
Seorang kakitangan swasta, Aliah Aziz, 25, berkata, dia membelanjakan hampir ratusan ringgit bagi membeli novel semasa jualan tersebut.
"Sejak kecil, saya tak lepaskan peluang untuk dapatkan novel terbitan Karangkraf kerana penulisannya yang santai dan bahasa yang mudah serta plot penceritaannya menarik.
"Saya harap, pihak Karangkraf kerap anjurkan jualan sebegini, sesetengah pembeli macam saya suka membeli secara fizikal berbanding dalam talian sebab semasa jualan sebegini, kami dapatlah belek-belek sikit buku secara lebih dekat,” katanya bekas penuntut di Management & Science University (MSU) itu.
Sementara itu, Nurul Hashikin Ibrahim, 39, berkata, kualiti grafik pada buku sentiasa meningkat, menjadikannya lebih nampak menarik.
"Saya pun sedang mencari buku bagi koleksi perpustakaan sebab saya bertugas sebagai guru perpustakaan di sekolah,” kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Damai 1 itu
Bagi mahasiswa, Alif Mu’amin Omar, 23, dia teruja dengan pelbagai bahan bacaan yang ditawarkan pada jualan gudang kali ini.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, setiap tahun dia dan keluarganya tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke jualan tersebut.
"Sejak sekolah rendah lagi, saya dan keluarga memang terdedah dengan buku-buku terbitan Karangkraf. Macam saya, saya memang peminat kepada novel karya Ramlee Awang Mursyid, dia ada gaya tersendiri dalam penceritaannya,” katanya yang juga imam Masjid Al-Ikhlas Taman Subang, Petaling Jaya.
Jualan Gudang Karangkraf 2023 kembali dengan pelbagai jenis bahan bacaan dengan penawaran diskaun sehingga 80 peratus.
Ia berlangsung dari 27 Januari hingga 6 Februari ini bermula jam 9 pagi hingga 7 petang di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.