LANGKAWI - Inisiatif Pertubuhan Sahabat Langkawi Geopark (Flag) mahu mengekalkan keindahan alam semulajadi pantai di Pulau Tuba mencapai sasaran apabila mengutip 370 kilogram (kg) barang kitar semula dalam tempoh lapan jam.
Presiden Flag, Datuk Dr Kamarulzaman Abd Ghani berkata, program gotong-royong itu juga berjaya mengumpul sebanyak 120 kg sampah yang perlu dilupuskan.
Menurutnya, adalah penting untuk memastikan kebersihan di kawasan laluan Pantai Geopark Ocean Drive di Kampung Tanjong Peluru yang terletak kira-kira 2 kilometer (km) dari Jeti Pulau Tuba sentiasa bersih agar ia kekal sebagai produk pelancongan unik Langkawi.
"Flag adakan program gotong-royong membersihkan pantai bersama komuniti setempat termasuk dari Selat Bagan Nyior yang turut disertai pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tuba dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk Chempedak.
"Inisiatif ini turut mendapat kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), syarikat pelupusan sisa pepejal E-Idaman dan Hotel The Datai Langkawi serta Noba & Resort,” katanya pada Sabtu.
Kamarulzaman berkata, komitmen LADA selaku pengurus Langkawi UNESCO Global Geopark amat dihargai atas persetujuan membenarkan komuniti menjaga dan menyelenggara kawasan berkenaan.
"Ia bertepatan dengan falsafah Geopark dalam memupuk semangat cintakan alam semulajadi selain memupuk sifat hak sepunya masyarakat terhadap produk geo-pelancongan,” ujarnya.
Tambahnya, laluan pesisir pantai sepanjang 4 km ini merupakan kawasan menarik yang sering dikunjungi pelancong, menggabungkan tiga jenis pantai, iaitu pantai berbatu kerikil, berbatu hamparan serta pantai berpasir.
"Kawasan ini harus sentiasa bersih kerana ia tarikan pelancong dan sesuai untuk beriadah, berkelah, berkhemah, memancing selain mandi-manda. Laluan ini juga pernah digunakan untuk aktiviti larian antarabangsa ‘Tuba Trail Run’ pada tahun 2016 dan 2017,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kamarulzaman memaklumkan aktiviti gotong-royong tersebut disertai lebih 70 peserta terdiri daripada masyarakat kampung, pelajar, warga kerja LADA serta perhotelan.
"Peserta dibahagikan secara berkumpulan di tujuh zon untuk kerja-kerja pembersihan. Sebelum itu peserta diberikan taklimat berkaitan pelupusan, pengasingan dan kitar semula sampah,” katanya.
Menurutnya lagi, acara sama pernah dianjurkan Flag pada tahun 2015 dan usaha ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa.
"Program ini harus dilakukan secara berterusan memandangkan kawasan ini seolah dilupakan, menyebabkan semakin sukar untuk dilawati berikutan keadaan jalan dipenuhi semak selain pantai dicemari sampah laut,” katanya.
Beliau berkata, Flag akan turut menyelenggara Geotapak Bukit Kechik dan Gua Wang Buloh bawah persefahaman bersama LADA.
"Menjaga alam sekitar bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, ia tanggungjawab semua terutama komuniti setempat,” jelasnya.
Sementara itu, Remi Giromella dari The Datai Langkawi menyifatkan aktiviti gotong-royong sebagai antara inisiatif untuk berinteraksi dengan lebih baik bersama komuniti, pihak swasta dan awam dalam usaha melestarikan geo-pelancongan.
"Ia dapat mengangkat martabat Geopark di Langkawi menjelang penilaian semula status Global Geopark oleh UNESCO tahun ini,” ujarnya.