Pembantu kedai telefon ditahan jual tambah nilai judi

Iklan
Datuk Muhamad Zaki Harun

KOTA BHARU - Seorang pembantu kedai telefon ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan menjual tambah nilai untuk aktiviti perjudian dalam talian di sebuah bangunan kedai di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Suspek lelaki berusia 44 tahun itu ditahan sepasukan anggota Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada jam 6.45 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis menjalankan penugasan Op Dadu susulan maklumat dan aduan awam.

"Pemeriksaan lanjut dalam aplikasi WhatsApp suspek turut disyaki terdapat urusan tambah nilai perjudian dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, berikutan itu telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM196 yang dipercayai hasil kegiatan tersebut dirampas.

"Berdasarkan siasatan awal polis, suspek mengaku aktif melakukan kesalahan itu sejak dua minggu yang lalu.

Laporan Sinar Harian.

Iklan

"Suspek juga mengaku terlibat sambil menjual telefon, aksesori dan kad tambah nilai biasa,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki memberitahu sebanyak 22 tangkapan berkaitan kes judi loteri dan dalam talian dilakukan di kawasan Pengkalan Chepa bagi tempoh Januari tahun 2022 sehingga Januari lalu seterusnya dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan.

"PDRM memandang serius isu perjudian. Kegiatan dilakukan secara bersembunyi dan modus operandi licik untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Kerjasama orang ramai diperlukan bagi menyalurkan maklumat supaya tindakan sewajarnya dilakukan bagi melumpuhkan dan membanteras sindiket-sindiket ini sekali gus menjaga keharmonian masyarakat setempat,” katanya memberi respons kepada laporan Sinar Harian berhubung kebimbangan penduduk terhadap gejala itu.

Sebelumnya, tular individu mengaku penduduk memuat naik aduan berkaitan menerusi Twitter rasmi Badan Pemantauan Jenayah (MyWatch) bertarikh 29 Januari lalu.