Dua lelaki ditahan kes gaduh depan pasar

Iklan
Tular klip rakaman video pergaduhan itu di Facebook pada Sabtu. Pix ihsan PDRM

BENTONG - Polis Bentong mengesahkan kejadian pergaduhan di daerah itu susulan tular klip rakaman video pergaduhan di laman sosial Facebook milik 'Aung Phyo Thu' itu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, pergaduhan itu berlaku kira-kira jam 3 pagi pada 23 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa seorang lelaki warganegara tempatan berusia 18 tahun yang merupakan seorang pelajar kolej swasta di Kuala Lumpur.

"Mangsa telah membuat laporan polis kira-kira jam 4.13 petang pada 23 Januari lalu.

Iklan

"Siasatan awal berdasarkan rakaman percakapan mangsa mendapati mangsa dan abang mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali di hadapan pasar Bentong," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, susulan itu, dua lelaki warga tempatan berusia 21 dan 22 tahun ditahan kira-kira jam 3.45 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada 25 Januari lalu bagi membantu siasatan.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," jelas Zaiham.

Sementara itu, beliau meminta kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.

"Pihak polis juga ingin turut merakamkan jutaan terima kasih kerana menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditahan," ujar Zaiham lagi.