JURGEN Klopp terkedu dan seakan tidak dapat menerima kekalahan 0-3 Liverpool kepada Wolves dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Klopp juga melabelkan aksi The Reds sebagai 'teruk' dan sukar buatnya menjelaskan persembahan hambar para pemainnya.
The Reds hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan EPL dan peluang untuk memburu kelompok empat teratas kian tipis.
Liverpool ketinggalan 0-2 dalam tempoh 12 minit pertama aksi di Molineux itu menerusi gol sendiri Joel Matip dan rembatan Craig Dawson yang membuka jaringan pada penampilan sulungnya bersama Wolves.
"Bolos awal permainan bukan satu perkara biasa buat kami, tetapi cara kami dibolosi tidak dapat diterima," ujar Klopp.
Ruben Neves kemudian menambah jaringan ketika permainan berbaki 19 minit untuk membantu Wolves keluar dari zon penyingkiran.
"Secara keseluruhan, kami bermain dengan baik tanpa menjaringkan gol dan ia adalah perlawanan di tempat lawan yang bagus tetapi tanpa gol. Ia sangat teruk," kata Klopp.
Liverpool ketika ini menghuni kedudukan ke-10 EPL dan sudah tersingkir daripada kedua-dua kejuaraan domestik.
Liga Juara-Juara Eropah adalah satu-satunya peluang untuk mereka merangkul trofi pada musim ini.
Aksi 16 terakhir menentang Real Madrid menanti The Reds akhir bulan ini.