SHAH ALAM - Ibarat jatuh ditimpa tangga, itu takdir seorang wanita pesakit mental bersama tujuh anaknya yang diusir berpindah dari rumah sewanya selepas tertunggak bayaran sewa sejak Oktober tahun lalu.
Lebih memilukan, wanita itu terpaksa berdepan dugaan berat itu bersendirian selepas suaminya tidak kerap pulang ke rumah kerana bernikah lain dan menguruskan keluarga baharu.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan, Skuad Saidina Umar (SSU) LZS mengambil tindakan segera menyantuni wanita itu yang kini buntu mengenang nasib diri dan anak berusia lingkungan empat hingga 14 tahun di bawah tanggungannya.
"Tuan rumah tidak dapat meneruskan sewa kerana bayaran tertunggak lebih tiga bulan selain pemilik juga berdepan dengan masalah kewangan akibat perlu menanggung bayaran bulanan pinjaman perumahan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Menurut LZS, wanita itu merupakan pesakit mental dan bergantung dengan ubat-ubatan psikiatri untuk mengawal emosinya tidak bertindak agresif.
Malah, LZS memberitahu, tekanan wanita itu semakin bertambah sejak suami bernikah dengan wanita lain.
"Hal ini juga menjadikan tekanan pada isteri sehingga anak sulung berusia 14 tahun juga kini menerima rawatan psikiatri kerana kerap mengamuk serta tidak dapat dikawal seperti mendengar bisikan.
"Anak remaja yang berusia 14 tahun kini juga perlu mengambil ubat penenang setiap hari bagi mengawal emosinya," jelas LZS.
Sehubungan itu, LZS menjelaskan, tindakan segera diambil termasuk menyerahkan sumbangan tunai serta bantuan lain.
"Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan jiran sekitar juga sangat membantu dan sentiasa memastikan keperluan keluarga ini mencukupi dan tidak terputus.
"Malah, hasil perbincangan bersama tuan rumah juga berjaya dicapai dan bersetuju untuk memberikan sewa selanjutnya buat ibu ini dan tujuh anaknya," menurut LZS.
Tambah LZS, tunggakan sewa rumah dan bayaran sewa bulanan selepas ini akan diuruskan pihaknya dan kes itu akan dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan menerusi khidmat kaunseling serta akta perlindungan.
"Poligami itu ada kaedah dan prosedurnya (tetapi) berlaku adillah dan jangan menzalimi serta melepaskan tanggungjawab utama. Semuanya akan dipersoalkan di hadapan ALLAH kelak," jelas LZS.