Set barang basah RM10 laris

Iklan
Set barang mentah berharga antara RM4 hingga RM10 dijual kepada pelanggan bermula jam 10 pagi.

BESUT - Seorang peniaga kini tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan yang ingin mendapatkan set barang basah harga jimat dan berbaloi selepas jualannya mula tular dalam media sosial sejak minggu lalu.

Menawarkan harga antara RM4 hingga RM10 satu set mengikut jenis barang mentah, Azreenda Husna Aripin, 26, tidak menyangka barangan itu mendapat sambutan hangat hingga 80 set habis hanya dalam masa dua jam.

Iklan
Iklan

Azreenda Husna yang merupakan pemilik Reenda Freshmart yang beroperasi di simpang tiga Kampung Apal, berkata, dia menyediakan set mi goreng berisi mi atau kuew tiaw, potongan ayam, sawi atau taugeh dan cili pada harga RM4.

Katanya, set paling laris adalah sup ayam, kerutuk ayam, kurma ayam, ayam goreng, gulai daging, singgang daging, sup daging, ayam korea, tomyam, kari ayam yang pada harga RM10 bersama ayam atau daging sejuk beku, bawang, sayur, rempah, santan atau cili.

Iklan
Azreenda Husna memotong sayur bagi menyediakan set barang mentah yang dijual di kedainya.

"Selain itu, saya juga ada buat set paprik ayam berharga RM9, sup sayur pada harga RM8 dan set sayur-sayuran tanpa ayam pada harga RM5.

Menurut Azreenda Husna, dia mengakui perniagaan berkenaan tidak memberikan keuntungan yang tinggi berikutan peningkatan barang mentah dalam pasaran kini.

Iklan

Bagaimanapun, wanita itu bersama suaminya, Solahudin Ghani, 29, gembira dapat menyediakan set barangan basah pada harga mampu milik bagi membantu penduduk setempat yang kebanyakannya berpendapatan rendah.

"Orang kampung biasanya sudah ada bajet perbelanjaan setiap hari, set yang saya buat ini cukup dimasak untuk sebuah keluarga. Malah, ada pelanggan yang boleh sediakan dua menu dengan satu set ayam atau daging berharga RM10,” katanya.

Antara set barang basah yang dijual Azreenda Husna

Jelasnya, sebelum ini dia sudah menjual set jimat dengan harga serendah RM3 sejak dua tahun lalu namun terhad kepada sayur-sayuran sahaja tanpa protein kerana kos barangan yang tinggi.

Katanya, dia nekad berusaha mencari kelainan dalam perniagaan selepas melihat ada peniaga di Kedah menyediakan set barang basah murah lalu mencari pemborong sayur harga lebih rendah.

"Akhirnya kami ambil keputusan untuk memborong sayur di Rantau Panjang, Kelantan. Walaupun terpaksa korbankan waktu tidur, ia berbaloi kerana sayuran yang dibeli lebih rendah antara 40 hingga 50 peratus dari bekalan setempat.

"Saya biasanya bertolak ke Rantau Panjang sekitar jam 12 malam, perjalanan ambil masa hampir dua jam. Selepas beli sayur, terus bertolak balik dan akan tiba di rumah pada jam 7.30 pagi," katanya.

Azreenda Husna berkata, set barang basah jimat dijual kepada pelanggan bermula jam 10 pagi dan kebiasaannya habis pada jam 12 tengahari bergantung kepada hari-hari tertentu.

"Kalau ikutkan keuntungan, memang tidak banyak pun tapi saya gembira kerana jualan sentiasa habis.

"Pada masa sama, kami dapat membantu penduduk mendapat bahan mentah pada kadar berpatutan," katanya yang kini dibantu dua adik beradik lain.