Padah curi hasil laut di perairan Malaysia

Iklan
Bot nelayan yang ditahan dibawa ke Jeti Limbungan Batu maung untuk siasatan lanjut.

GEORGETOWN - Lima nelayan warga Indonesia ditahan bersama sebuah bot nelayan serta hasil laut di Pulau Kendi, di sini pada tengah hari Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot yang dinaiki lima lelaki itu ditahan pada jam 12.45 tengah hari dalam Op Tanjung dan Op Pertiwi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bot tersebut ditahan pada kedudukan 37 batu nautika barat daya Pulau Kendi selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Lima nelayan warga Indonesia yang tiada pengenalan diri ditahan.

"Kita kemudiannya menyita bot yang berpangkalan di Pangkalan Susu, Indonesia itu selain menahan lima warga Indonesia yang berusia lingkungan 21 hingga 50 tahun untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Tambahnya, bot, nelayan serta hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk siasatan lanjut.

"Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Iklan

"Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia," katanya.