ALOR SETAR - Seorang majikan meninggal dunia selepas bertengkar dengan pekerjanya dalam satu kejadian di Jalan Stadium, dekat sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, berlaku pergaduhan kecil di antara kedua-duanya pada jam 5.15 petang.
"Berlaku pertengkaran dan pergaduhan sehingga mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
"Bedah siasat akan dibuat pada Ahad bagi mengenal pasti punca kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Difahamkan mangsa yang berusia 68 tahun itu rebah selepas bertengkar akibat perselisihan faham dengan suspek yang berusia 55 tahun.
Perselisihan faham itu dipercayai tercetus antara anak mangsa dan isteri suspek yang marah kerana anak pemilik restoran itu menuang air bilasan pinggan ke dalam bekas peralatan yang telah pun dicuci.
Mangsa kemudian keluar dari restoran dan memarahi isteri suspek sebelum berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa.
Dikatakan mangsa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek sebelum tercetus pergaduhan apabila pekerjanya hilang sabar dan menyerangnya menggunakan sebatang kayu.
Anak mangsa dan suspek cuba meleraikan pergaduhan namun suspek dikatakan sempat melepaskan tumbukan beberapa kali di muka mangsa.
Mangsa yang masih sedar tiba-tiba rebah sebelum anaknya menghubungi ambulans namun pegawai perubatan yang tiba mendapati mangsa sudah meninggal dunia.