PENYERANG baharu, Kuala Lumpur (KL) City FC, Herlison Caion berazam untuk lebih berbisa di depan gawang dalam musim keduanya di Liga Malaysia (Liga-M) selepas meledak 24 gol musim lalu.
Beliau berkata, skuad warga kota itu mempunyai ramai pemain berpengalaman yang mampu membantunya merealisasikan impian tersebut.
"Di sini saya mempunyai rakan-rakan yang berpengalaman seperti Tchetche Kipre, Romel Morales dan Paulo Josue yang mampu membantu saya,” ujarnya.
Caion ditemui media selepas membantu KL City menewaskan Perak FC 3-0 dalam saingan Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Caion bagaimanapun mengakui harus memperbaiki corak permainannya dan menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukan yang baharu.
"Rakan-rakan banyak membantu untuk saya menyesuaikan diri dengan pasukan dan memberi keyakinan diri.
"Saya mahu membuktikan sesuatu kepada para penyokong, jurulatih dan rakan sepasukan pada musim pertama bersama KL City,” katanya.
Beliau turut menganggap Bojan Hodak sebagai seorang jurulatih yang mementingkan disiplin dan sering menekan pemain untuk menjadi lebih baik.
"Beliau sangat mementingkan disiplin. Dalam sesi latihan beliau akan tekan kami dan anda dapat lihat pada perlawanan malam ini (Sabtu) hasilnya.
"Kami ada masa lagi untuk perbaiki kelemahan, saya percaya kami mampu tingkatkan lagi tahap permainan kami,” katanya.