Denda sehingga RM500 jika buang sampah merata di Johor

Iklan
Onn Hafiz (dua, kanan), mengaut longgokan sampah ketika menyertai program berkenaan di Sungai Skudai, pada Ahad.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Johor bakal menguatkuasakan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan kompaun sehingga RM500 dalam usaha meningkatkan lagi penguatkuasaan berhubung aspek penjagaan kebersihan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penguatkuasaan Akta 133 itu secara keseluruhannya bertujuan mendidik masyarakat agar tidak lagi membuang sampah di merata-rata tempat.

Iklan
Iklan

Malah katanya, kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri telah diminta untuk menyelaraskan penguatkuasaan Akta 133 berkenaan.

"Kita perlu didik masyarakat agar tidak lagi membuang sampah di merata-rata tempat...jika tidak, tidak ada makna usaha kita lakukan gotong-royong (membersihkan) sesuatu kawasan.

Iklan

"Kita dah lancarkan program Johor Bersih sejak tahun lepas, tetapi pemikiran masyarakat kita masih belum mencapai ke tahap yang kita mahukan dan sebab itulah aspek penguatkuasaan ini sangat penting.

"Oleh itu, setelah berbincang, kita bersetuju untuk tingkatkan lagi aspek penguatkuasaan ini,” katanya pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Sebelum itu, Onn Hafiz turut menyertai program Johor Bersih Zon Tampoi di Taman Tampoi Utama yang melibatkan aktiviti pembersihan Sungai Skudai di kawasan berkenaan.

Sementara itu Onn Hafiz berkata, usaha pembersihan seperti itu diharap akan berterusan selepas ini di seluruh negeri melibatkan penglibatan semua pihak.

"Dalam kita nak bersihkan negeri, kita pungut sampah, kita pungut bermacam bentuk barang di tepi jalan, di taman-taman, di sungai-sungai tetapi kena pastikan juga 'mindset' rakyat secara keseluruhannya kena pastikan mereka tak buang sampah (merata-rata).

"Jadi mulai sekarang, kita gerakkan (program pembersihan) melalui PBT di mana Ahli Majlis akan bergerak bersama agensi-agensi lain, di kampung-kampung pula, ketua-ketua kampung pula akan bergerak, di peringkat sungai, pihak JPS (Jabatan Parit dan Saliran) pula yang bergerak,” katanya.

"Insya-ALLAH dalam sebulan dua ni, kita nak tengok peningkata, tapi semua pihak kena main peranan termasuk syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan kita bersihkan Johor sebagai satu pasukan,” katanya.