KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan dukacita atas pemergian dua guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang dalam kemalangan berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh, Kemaman di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), petang semalam.
Menterinya, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook pada Ahad mengucapkan takziah kepada waris keluarga Arbain Baharudin, 47, dan isterinya Rosmawati Bakar @ Lalar, 48, serta warga Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.
Iklan
Iklan
"Semoga tabah dan sabar dengan ujian besar ini. Kami mendoakan agar roh mereka berdua dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, pasangan suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan selepas kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki terbabas di Kilometer 274, LPT2.
Sementara tiga anak mereka, Farah Najwa, 20, Fatin Najla, 10, dan Faikal Nabila, 8, hanya cedera di muka, kaki dan tangan. - Bernama
Artikel Berkaitan