PENYERANG skuad Filipina, Jose Elmer Porteria bakal memperkuatkan skuad Kelantan United FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023 selepas menandatangani kontrak selama semusim bersama pasukan berkenaan.
Ketua Pegawai Operasi Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman berkata, pemain berusia 28 tahun itu mengisi kuota pemain ASEAN yang disyaratkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Iklan
Iklan
"Porteria merupakan pemain import keempat skuad Kijang Hijau pada musim ini. Tiga lagi adalah Ernist Batyrknov (Kyrgyzstan), Yan Victor (Brazil) dan Morgaro Gomis (Senegal),”katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Wan Mohd Zul berkata, pemain yang memulakan karier bersama kelab di Amerika Syarikat, DC United itu berkebolehan beraksi di posisi sayap kiri dan kanan.
Katanya, pemilihan Porteria berdasarkan kepada prestasi dan rekod permainan dengan beraksi lebih 90 perlawanan di Liga Filipina, Liga Thailand, Piala AFC dan Liga Juara Asia.
"Dia menjaringkan lebih 40 gol dan 22 bantuan gol serta masih menjadi pilihan skuad kebangsaan Filipina sejak 2012.
"Pengalaman dan kemampuan pemain ini tidak perlu dipertikaikan lagi namun perlu mencari keserasian bersama rakan sepasukan dengan segera,” katanya.