KPDN keluar 60 notis siasat kenaikan harga sayur

Iklan
KPDN mengeluarkan 60 notis terhadap 296 jenis barangan yang telah diperiksa bagi tujuan analisis dan siasatan berhubung kenaikan harga sayur. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Azman)

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan 60 notis terhadap 296 jenis barangan yang telah diperiksa bagi tujuan analisis dan siasatan berhubung kenaikan harga sayur-sayuran melalui Operasi Pasar (Ops Pasar).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati faktor peningkatan harga sayur-sayuran kerana musim monsun, kenaikan kos input seperti baja, benih dan racun yang diimport, kadar pertukaran mata wang serta kos perkapalan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya memandang serius rungutan orang ramai berkenaan kenaikan harga barangan termasuk sayur-sayuran seperti dilaporkan media arus perdana dan media sosial.

Ops Pasar merupakan antara pemeriksaan dan pemantauan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang difokuskan bagi menangani kenaikan harga sayuran di pasaran.

Iklan

Azman berkata, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa digerakkan setiap hari bagi melaksanakan pemeriksaan harga di premis seluruh negara termasuk yang menjual sayur-sayuran.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta pihak peniaga bagi memastikan bekalan sedia ada sentiasa mencukupi.

Iklan

"Kementerian ini juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga secara keterlaluan. Jika ada pihak yang didapati melanggar perundangan berkaitan akan dikenakan tindakan yang tegas,” katanya.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDN melalui WhatsApp di 019-2794317 atau 019-8488000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; Pusat Panggilan 1-800-886-800; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDN. - Bernama