BERDASARKAN graf sokongan semasa Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, UMNO memerlukan momentum baharu dengan idea segar sekiranya ingin menarik sokongan rakyat khususnya golongan muda.
Kajian turut dibuat pelbagai pihak di media sosial (medsos) berdasar situasi yang berlaku sekarang menggambarkan anak muda menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Bekas Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut meluahkan kegusaran beliau terhadap fenomena tersebut dalam wawancara khas dengan akhbar ini yang disiarkan semalam.
Beliau dilaporkan berkata, UMNO perlu ada imej dan tawaran baharu yang tidak mengetepikan golongan muda memandangkan mereka juga akan beralih ke saluran tiga dan empat kelak.
Lebih memburukkan keadaan apabila keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang meluluskan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi tidak dicabar dan isu pemecatan serta penggantungan tokoh muda dalam parti tersebut.
Menurut Ismail Sabri, tindakan menyekat hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada ahli UMNO untuk memilih dan pemecatan pemimpin yang bersuara telah memberikan signal yang salah kepada rakyat terutama golongan muda.
Katanya, UMNO seolah-olah memberi petanda yang salah kepada rakyat dan menunjukkan UMNO tiada demokrasi, dipecat atau digantung.
Sekiranya signal yang salah ini diberikan secara berterusan, tidak mustahil UMNO akan menghadapi laluan yang sukar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16 kelak.
Justeru untuk meneruskan survival parti, UMNO perlu mendapatkan semula kepercayaan rakyat dan golongan muda seperti yang ditunjukkan pada PRU15 bahawa rakyat tidak percaya lagi kepada UMNO dan BN dan parti perlu membersihkan imej dan integriti.
Kuasa mengundi daripada golongan berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana mereka boleh menjadi penentu kemenangan sesebuah parti yang bertanding.
Lebih penting, anak muda hari ini lebih terbuka dan fleksibel dalam membuat pertimbangan. Maka ruang dan peluang dalam demokrasi perlu diberikan kepada mereka.
UMNO sudah berhadapan dengan tsunami politik dan tidak boleh menunggu sehingga terpaksa berhadapan dengan ‘asteroid’ yang memungkinkan parti itu akan pupus.