KEKALAHAN 0-1 Manchester City kepada Tottenham Hotspur mengubah impian Pep Guardiola dalam pemburuan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Jurulatih berusia 52 tahun itu enggan lagi memikirkan kejuaraan sebaliknya hanya mahu fokus baki saingan musim ini.
Penyerang sensasi, Harry Kane mencetak namanya selaku penjaring terbanyak Spurs menerusi gol tunggal perlawanan itu.
Kemenangan Spurs memberi tamparan hebat kepada City untuk mengekalkan kejuaraan, sebaliknya memberi kelebihan kepada pencabar utama, Arsenal.
Sehari selepas The Gunners tewas kepada Everton, City gagal memanfaatkan peluang itu untuk menghambat anak buah Mikel Arteta yang mendahului lima mata dan satu aksi di dalam tangan.
"Spurs memiliki sebuah pasukan yang hebat dan mereka menghukum kami. Mereka mempunyai kualiti di barisan hadapan.
"Kami bermula dengan baik tetapi akibat kesilapan, mereka menghukum kami.
"Ketika ketinggalan 0-1, ia sudah jadi berbeza. Ia bukan mudah. Kami kehilangan tiga mata," ujar Guardiola.
Ia adalah kekalahan kelima pelawat di Stadium Tottenham Hotspur yang masih buntu menemui sentuhan kemenangan.
"Keadaan akan berubah, tetapi pelik kami tidak mampu menghasilkan sebarang gol.
"Sukar untuk beri penjelasan. Kami ada peluang, membuat umpanan menarik tetapi kurang berbisa di depan gol," kata Guardiola.