Wanita rugi lebih RM50,000 ditipu tawaran kerja dalam talian

Iklan
Gambar hiasan - Gambar kecil: Ramli Mohamed Yoosuf
KUANTAN - Hasrat seorang wanita menambah pendapatan menerusi kerja sambilan tidak kesampaian apabila terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian sehingga mendakwa dirinya kerugian RM53,875.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang berusia 41 tahun mendakwa dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp pada 29 Januari lepas berhubung tawaran kerja untuk melanggan dan memberi tanda suka di YouTube.

"Jumlah keuntungan itu menyebabkan mangsa berminat untuk terus membuat bayaran sehingga mengeluarkan wang simpanan dan meminjam daripada ahli keluarga yang keseluruhannya berjumlah RM53,875," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ramli berkata, wanita itu menyedari ditipu selepas tidak menerima bayaran balik walaupun telah membuat bayaran secara dalam talian ke empat akaun menerusi 10 transaksi lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Ahad.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan menerusi media sosial terutama yang menjanjikan pulangan lumayan.

Katanya, orang ramai juga diingatkan membuat semakan nombor akaun yang diterima di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu. - Bernama