SHAH ALAM - Kerajaan dicadang untuk mempertimbangkan pengurangan cukai kertas kepada syarikat penerbitan buku agar industri tersebut mampu menampung dan meneruskan pengeluaran pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Izzat Izahar Muhammad Nasir berkata, saranan itu dibuat memandangkan kertas merupakan antara komponen penting dan mengambil kos yang tinggi dalam penerbitan.
"Kalau kita ingat, sekitar 2012, 2013 kita ada baucar buku. Benda ini bagus untuk pendidikan. Saya rasa rata-rata semua penerbit suka. Tetapi bagi saya, ini lebih kepada jangka masa pendek sahaja untuk nak dikembalikan, ini bukan plan jangka masa panjang.
Beliau berkata demikian semasa program Krafikir yang bertajuk Buku Kita: Nak Ke Mana Sebenarnya? yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf sempena Jualan Gudang Karangkraf 2023.
Turut hadir, Pengurus Besar Penerbitan PTS Media Group Sdn Bhd, Mohd Ikram Mohammad Nor Wazir dan Ketua Pegawai Eksekutif Iman Publication, Fatin Syamimy Liana Badaruddin sebagai panelis manakala Azzah Abdul Rahman sebagai moderator.
Menurut Mohd Ikram lagi, selain memberikan pemotongan cukai, kerajaan juga perlu melaksanakan satu polisi untuk meningkatkan tahap pembacaan rakyat.
Jelasnya, perkara tersebut mudah untuk dilakukan memandangkan tiada sebarang kos yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan.
"Saya teringat suatu ketika dahulu, apabila isteri Perdana Menteri sebelum ini sangat dekat dengan batik, jadi buat polisi hari Khamis pakai batik. Ini polisi yang baik kerana tidak memerlukan kos.
"Ia terus memberi kesan serta merta kepada industri batik sebab permintaan terus naik kerana ada polisi berkenaan perkara ini. Ini adalah idea di luar kotak yang sebenarnya memberikan satu permintaan baharu kepada satu-satu produk.
"Jadi, dalam konteks buku, saya fikir ini boleh difikirkan di peringkat kerajaan. Kerajaan ada kuasa bila ada kuasa, mereka boleh cetus bagaimana nak mewujudkan permintaan yang lebih besar,” ujarnya.
Sementara itu, Fatin Syamimy berkata, kerajaan perlu mewujudkan semula kempen membaca yang pernah dilakukan dan diamalkan sebelum ini bagi meningkatkan tahap pembacaan rakyat terutama golongan muda.
"Saya berpandangan sebagai sebuah entiti bisnes, kita tidak boleh ambil tahu peranan mendidik rakyat sebab kita dalam bahagian bisnes. Jadi, kerajaan perlu mewujudkan permintaan ini bagaimana nak pastikan buku dekat dengan rakyat.
"Saya kira jika bahagian itu diperkasakan dengan baik, maka sebenarnya itu yang akan membangunkan industri kita. Bila permintaan tinggi maka lebih banyak buku yang akan diterbitkan,” jelasnya.