'Tak perlu gesa Noraini berundur, tak suka jangan undi'

Iklan
Mohamed Khaled (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Ahad.)


JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan tidak perlu membuat gesaan supaya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berundur dengan tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti bulan depan.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, ini kerana pemilihan tersebut dibuat secara terbuka dan mana-mana pihak boleh bertanding merebut jawatan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan rasmi ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai pada Isnin.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Noraini digesa untuk berundur daripada mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti akan datang.

Wanita Titiwangsa, Azwati Abdul Halim dilaporkan berkata, gesaan dilakukan agar Noraini dapat bertanggungjawab sepanjang mengetuai sayap itu.

Sementara itu pada Sabtu, majoriti Ketua Wanita UMNO Bahagian dilaporkan mahu bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO selepas pemilihan parti itu bulan depan.

Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, dilaporkan berkata, seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian membuat keputusan itu dalam satu pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan, sumber Wanita UMNO mengesahkan, Noraini yang menerajui sayap itu sejak 2018 akan mempertahankan jawatannya.

Sementara itu, Mohamed Khaled ketika ditanya sama ada akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang atau kali ini bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, bekas Menteri Besar Johor itu hanya ketawa dan secara berseloroh memaklumkan:

"Ya, saya Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang dan Ahli Parlimen Kota Tinggi." ujarnya.