TUMPAT - Seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor maut dalam kemalangan selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandunya terbabas di Kilometer (KM) 5, Jalan Palekbang-Tumpat, Wakaf King di sini pada Ahad.
Chong Yeong Ren, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat meninggal dunia dalam kejadian jam 11.30 malam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Yeong Ren mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
"Siasatan awal polis mendapati, sebelum kejadian dia dari Wakaf Bharu menghala ke Tumpat untuk pulang ke rumahnya di Kampung Terbak.
"Setiba di lokasi kejadian kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas beberapa meter sebelum merempuh dua tiang lampu di sebelah kiri jalan lalu terbalik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Mendiang mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 3 Jun tahun 2019 sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Tumpat.
"Sepanjang berkhidmat, mendiang menunjukkan prestasi tugas yang amat membanggakan dan memberi komitmen terhadap tugas yang dijalankan.
"Dia juga seorang yang senang bergaul dengan pegawai atasan dan anggota bawahan serta amat disenangi oleh segenap lapisan warga IPD Tumpat,” katanya.
Mayat mendiang akan diiringi PDRM untuk dihantar ke rumah keluarganya di Klang, Selangor.
Mendiang meninggalkan seorang balu dan seorang anak berumur tiga bulan.