ISKANDAR PUTERI - Peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen yang dikurangkan pada tahun ini dijangka menjadi isu utama yang dibangkitkan pada sesi pemukiman pada Ahad ini.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, seramai 148 ahli Parlimen di blok kerajaan terbabit dengan sesi pemukiman yang diadakan sehari sebelum sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
"Tunggu jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pemukiman yang akan diadakan di Putrajaya.
"Pastinya soal peruntukan pembangunan akan dibangkitkan sewaktu sesi pemukiman yang dahulunya disebut sebagai sesi taklimat.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri, di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Isnin.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan pemotongan peruntukan pembangunan adalah tidak mencukupi susulan kawasannya berada jauh di pedalaman dengan cabaran geografi dan keluasannya menyamai negeri Pahang.
Pada Jumaat, Anwar mengesahkan pengurangan elaun pembangunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah sesi dialog Bajet 2023 cukup penting dalam mendapatkan maklum balas dengan fokus kepada isu pendidikan, kesihatan, luar bandar, pekerjaan dan belia.
"Selepas ini, saya akan ke Perak untuk mengadakan sesi dialog Bajet 2023 pula di sana. Saya sudah ke tiga negeri sebelum ini iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
"Saya tidak mungkin dapat ke semua negeri memandangkan Bajet 2023 akan dibentangkan pada 24 Februari. Tetapi sesi dialog ini akan diteruskan untuk Bajet 2024," katanya.