30 PPR nikmati kemudahan internet percuma

Iklan
Kor Ming (kanan) ketika meninjau kemudahan akses internet yang disediakan melalui program Jendela@PPR 2.0 di PPR Taman Bagan Jaya, pada Isnin.

BUTTERWORTH - Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjangkakan 30 projek rintis program Jalinan Digital Negara di Projek Perumahan Rakyat 2.0 (Jendela@PPR 2.0) di seluruh negara akan siap sepenuhnya menjelang April depan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, setakat ini 27 PPR telah mendapat kemudahan internet secara percuma yang disediakan selama sembilan bulan melalui inisiatif itu, manakala tiga PPR lagi akan dapat menikmati kemudahan sama tidak lama lagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penyediaan kemudahan jalur lebar ke setiap rumah merupakan salah satu bidang fokus KPKT bagi perancangan perumahan yang lebih komprehensif dan berdaya saing, manakala penyediaan kemudahan akses internet kepada setiap rumah PPR pula sebagai usaha menjadikan perumahan rakyat yang berdaya huni.

Kor Ming

"Melalui program Jendela@PPR 2.0 ini, sebanyak 13,218 unit rumah yang melibatkan 53,000 isi rumah daripada kumpulan B40 akan menikmati kemudahan internet percuma dengan kelajuan 30mbps.

Iklan

"Saya yakin ini adalah inisiatif yang penting kerana kemudahan internet memang salah satu komponen yang wajib khususnya bila kita membangunkan ekonomi gig, trend bekerja dari rumah dan boleh dimanfaatkan kepada mereka yang menjalankan perniagaan dalam talian," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan kemudahan akses internet di PPR Taman Bagan Jaya di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo.

Iklan

Kor Ming berkata, keseluruhan kos projek berkenaan menelan belanja sebanyak RM22 juta yang mana ia melibatkan kerja-kerja pemasangan kabel gentian optik, router dan modem di setiap unit rumah.

Jelasnya, selepas tempoh sembilan bulan, penduduk PPR mempunyai pilihan untuk melanggan pakej internet disediakan dengan harga yang lebih kompetitif selain lebih murah daripada pasaran.

"Program ini satu lagi inisiatif yang membawa manfaat besar kepada rakyat di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan malah ia menyokong aspirasi kerajaan ke arah negara berpendapatan tinggi berpaksikan pendigitalan melalui MyDigital dan Revolusi Perindustrian ke-4 (IR 4.0).

"Dahulu memang payah tetapi sekarang kita telah mudahkan...ini menunjukkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat adalah keutamaan Kerajaan Perpaduan malah kita akan lakukan yang terbaik demi rakyat yang kita kasihi," katanya.