KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarah mengetuai satu jawatankuasa khas bagi menyelaraskan usaha kutipan dana percetakan dan pengedaran sejuta al-Quran ke seluruh dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar arahan itu dikeluarkan pihaknya selepas mesyuarat kabinet minggu lepas.
Beliau berkata, usaha itu memerlukan penyelarasan, bagi memenuhi hasrat yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencetak sejuta naskhah al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Pembangunan Komuniti Setempat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Masjid Jamek Kampung Bharu, di sini pada Isnin.
Sementara itu, mengulas nasihat Mufti Wilayah Persekutuan kepada masyarakat Islam mengenai sambutan Thaipusam, Mohd Na'im berkata, ia bertujuan supaya umat Islam tidak terlibat dengan apa-apa ritual agama dalam perayaan berkenaan.
Mengenai Pelan Pembangunan Komuniti Setempat YaPEIM itu, Mohd Na'im berkata, objektif pelaksanaannya adalah bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat, meningkatkan pendapatan dan kelestarian kehidupan.
Katanya, pemilihan Kampung Bharu khususnya Masjid Jamek Kampung Bharu sebagai projek rintis plan itu dilihat signifikan dalam membangunkan usahawan asnaf serta usahawan lain di ibu negara menerusi pelbagai inisiatif bagi pembangunan komuniti, sekali gus memanfaatkan prasarana komuniti setempat.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Masjid Jamek Kampung Bharu Datuk Mohd Khay Ibrahim. - Bernama.