Kedah haramkan judi bukan tindakan rasis - Muhammad Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Tindakan kerajaan negeri Kedah mengharamkan operasi premis judi dan loteri di negeri ini bukannya bersifat rasis atau meminggirkan kaum-kaum tertentu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan tersebut dibuat untuk kebaikan semua pihak tanpa mengira latar belakang agama mahupun kaum.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu berkenaan tiada kaitan dengan isu perkauman, sebaliknya sengaja dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka sahaja.

"Apabila kerajaan negeri tutup premis judi, ada golongan isteri cakap bagus dan ucapkan terima kasih sebab suaminya sudah tidak lagi berjudi sampai habis duit cecah RM50,000. Duit sebanyak itu kalau buat rumah pun dah siap,” katanya dalam sembang santai secara langsung di media sosial TikTok, pada malam Ahad.

Iklan

Muhammad Sanusi memberitahu, selepas Kedah membuat keputusan tidak lagi memperbaharui lesen perjudian, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pelbagai kaum.

"Ada yang ucapkan terima kasih atas inisiatif kerajaan negeri itu yang disifatkan telah menyelamatkan ramai individu daripada terus terjerumus dalam pembaziran.

Iklan

"Kerajaan negeri hanya ada kuasa berkaitan lesen premis sahaja melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi saya gunalah kuasa yang ada itu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, keputusan kerajaan negeri untuk mengharamkan premis judi di negeri ini turut dihormati kerajaan Persekutuan yang kemudiannya mengharamkan lesen perjudian di Kedah.

"Atas permintaan kita, kerajaan Persekutuan turut tamatkan lesen perjudian di Kedah. Jangan kata di Kedah saja kita tak bagi lesen premis judi, lesen perjudian yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan juga ditamatkan untuk Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mencabar pihak yang masih membuat ‘bising’ berhubung isu tersebut agar melakukan kajian berhubung pulangan diterima negara apabila membenarkan kegiatan perjudian berbanding kerugian dialami akibat kerosakan yang berpunca daripada judi.

"Cuba tengok berapa pulangan sektor perjudian dalam negara berbanding bencana akibat daripada judi. Berapa nilainya untuk rawat orang sakit mental, masalah keruntuhan keluarga, pengabaian pendidikan anak-anak dan banyak lagi perkara negatif yang berpunca daripada judi.

"Kalau nak kaji, kaji betul-betul daripada setiap sudut. Saya sudah kaji daripada aspek sosial, ekonomi dan agama, semuanya tak sokong sektor perjudian,” tegasnya.

Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Bermula pada Januari tahun ini, Muhammad Sanusi mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau dengan tegas bagi memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang ditetapkan.