Padah guna lesen bot tamat tempoh

Iklan
Bot nelayan yang ditahan Maritim Malaysia, pada Ahad.

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot sangkar ikan kerana menggunakan lesen bot yang telah tamat tempoh pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot berkenaan ditahan pada kedudukan sekitar 0.5 batu nautika timur Batu Maung sekitar jam 4.40 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penahanan itu dibuat oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia setelah memeriksa secara rawak terhadap sebuah bot sangkar ikan dalam OP Pertiwi.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati bot itu dikendalikan oleh empat kru warga asing iaitu seorang tekong dan dua kru warga Myanmar serta seorang lagi kru warga Indonesia berumur lingkungan antara 21 hingga 29 tahun.

Tekong dan kru bot warga asing ditahan kerana menggunakan lesen bot yang telah tamat tempoh.

Iklan

"Semakan dokumen mendapati, kesemua mereka mempunyai pengenalan diri yang lengkap tetapi disyaki melakukan kesalahan kerana mengendalikan bot dengan lesen yang telah tamat tempoh," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Isnin.

Abd Razak berkata, kesalahan terbabit disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu beroperasi dengan mengendalikan bot menggunakan lesen yang telah tamat tempoh.

Iklan

Katanya, bot bersama kesemua kru dan tekong ditahan sebelum dibawa ke jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.