Tiga ADUN Warisan keluar parti, sokong Hajiji

Iklan
Mohammad (kiri), Norazlinah (tengah) dan Chen Bin (kanan) membuat kenyataan bersama menerusi satu video yang tular pada Isnin.

KOTA KINABALU - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan (Warisan) mengumumkan keluar parti pada Isnin.

Tiga ADUN berkenaan ialah Mohammad Mohamarin (ADUN Banggi); Chong Chen Bin (Tanjong Kapor); serta Norazlina Arif (Kunak).

Iklan
Iklan

Norazlinah berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pelbagai aspek dan hala tuju parti serta pandangan akar umbi di kawasan masing-masing.

"Kami berharap dapat meneruskan khidmat baik kepada masyarakat yang kami wakili, kami mengucapkan jutaan terima kasih dan memohon kemaafan kepada Presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), rakan-rakan dan penyokong parti," katanya menerusi kenyataan bersama.

Iklan

Beliau berkata, mereka bertiga turut melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat bahagian atau di peringkat Ahli Majlis Tertinggi.

"Kami berpandangan bahawa sudah tiba masanya polemik politik dan juga sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan perlu dihentikan," katanya.

Iklan

Norazlinah yang juga Ketua Wanita Warisan pada 16 Januari lalu menafikan dakwaan bahawa beliau akan meninggalkan Warisan.

Beliau turut menafikan ada menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk bertukar parti seperti yang ditularkan sebelum ini.

Warisan sebelum ini mempunyai seramai 19 ADUN selepas enam ADUN daripada parti itu menyatakan pendirian untuk keluar daripada parti.

ADUN yang keluar sebelum ini ialah Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan).