10 jalan utama di JB ditutup sempena Perarakan Chingay 2023

Iklan
Raub (tengah) menghadiri taklimat penyelarasan Pesta Perarakan Chingay 2023 bersama ketua-ketua Persatuan Tiong Hua dan media di Wisma Tiong Hua, Johor Bahru, pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Sebanyak 10 jalan utama di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat termasuk untuk kerja-kerja mencuci jalan sempena Perarakan Chingay 2023 pada Khamis hingga Ahad ini.

Penutupan tersebut melibatkan Jalan Trus; Jalan Gereja; Jalan Ngee Heng; Jalan Tun Abdul Razak; Jalan Ulu Molek; Jalan Yahya Awal; Jalan Ayer Molek; Jalan Dato' Onn; Jalan Susur Ibrahim dan Jalan Wong Ah Fook.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memberitahu, penutupan itu bermula dengan kerja-kerja mencuci jalan dari kuil kuno Johor di Jalan Trus bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari Khamis.

"Kemudian jalan-jalan utama yang akan ditutup bagi acara membawa tokong keluar dari kuil berkenaan melalui Jalan Ngee Heng; Jalan Tun Abdul Razak dan berakhir di Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari Jumaat.

Iklan

"Seterusnya laluan utama akan ditutup secara berperingkat sempena kemuncak perarakan tersebut di jalan-jalan utama berkenaan pada 7 malam Sabtu sehingga 3 pagi Ahad," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, penutupan jalan akan disambung bagi acara membawa balik tokong dari Kuil Xing Gong, Jalan Ulu Air Molek; Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ngee Heng dan berakhir di kuil kuno Johor di Jalan Trus bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.

Iklan

Katanya, orang ramai disarankan menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas termasuk kenderaan dari Singapura - mereka yang datang dari republik itu boleh menggunakan Jalan Skudai; Lingkaran Dalam dan Jalan Skudai (pantai Lido).

Mereka yang datang dari Skudai pula katanya, boleh juga menggunakan laluan menghala ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dari Jalan Skudai dan Jalan Pantai Lido; dari Jalan Datin Halimah (Jalan Kolam Air, Jalan Thompson dan Jalan Abu Bakar) dan dari Kota Tinggi (Leburaya EDL, Susur Jalan Abu Bakar dan Jalan Lingkaran Dalam).

Raub melarang orang ramai membawa senjata tajam atau berbahaya atau barang-barang terlarang yang boleh menjurus kepada jenayah dengan menimbulkan kekacauan dan kekecohan awam.

Pihak polis katanya, tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap sebarang pelakuan dan perbuatan yang tidak mematuhi undang-undang.

Beliau juga melarang orang ramai membakar mercun sepanjang perarakan selain tidak dibenarkan menggunakan dron.