JURULATIH berpengalaman, Carlos Queiroz dilantik sebagai pengurus Qatar sehingga tamat Piala Dunia 2026.
Pelantikan pengendali berusia 69 tahun itu dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA).
Kejohanan berprestij berbaki tiga tahun itu akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Qatar sebelum ini dibimbing pengendali dari Sepanyol, Felix Sanchez.
Bagaimanapun mereka melalui kempen buruk di Piala Dunia sebagai tuan rumah apabila tewas ketiga-tiga perlawanan kumpulan dan hanya menjaringkan satu gol.
"QFA secara rasminya memutuskan untuk melantik jurulatih dari Portugal Carlos Queiroz sebagai ketua jurulatih sehingga 2026.
"Queiroz mempunyai banyak reputasi, pengetahuan yang hebat dan pengalaman luas dalam bola sepak Asia," ujar QFA.
Piala Dunia 2026 akan menjadi penampilan kelima buat bekas pengurus Real Madrid itu.
Queiroz pernah memimpin negara asalnya Portugal pada 2010 sebelum membawa Iran layak beraksi di Brazil, Rusia dan Qatar.