KEMAMAN - Seramai 20 bekas pemain bola sepak Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) kembali berentap menerusi aksi perlawanan 'reunion match' yang diadakan di di Stadium Mak Chili, di sini pada 3 Februari lalu.
Wakil pemain, Mohd Arif Kori, 38 berkata, perlawanan itu melakar sejarah tersendiri buat mereka apabila kesemua bekas pemain (Seniman Bolasepak PDT) dapat berkumpul selepas masing-masing membawa haluan sejak 13 tahun lalu.
Jelasnya, mereka memilih stadium itu sebagai lokasi pertemuan memandangkan kedudukannya strategik dan memudahkan kehadiran rakan-rakan dari Pantai Barat.
"Pertemuan yang diadakan itu melibatkan pemain berusia lingkungan 30 an yang telah mengikuti pengajian di PSMZA pada 2004.
"Ia sekali gus menggamit kembali nostalgia ketika remaja di mana ketika itu mereka semua cukup aktif dalam perlawanan bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti komuniti di daerah Dungun yang dianjurkan oleh PSMZA," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.
Menurutnya, dalam perlawanan itu, kemenangan berpihak kepada Seniman Bolasepak PDT apabila menguasai jaringan 6 - 3 dalam aksi perlawanan menentang Lejen Kemaman 198X.
"Rentak permainan agak seimbang dan Seniman Bolasepak PDT dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.
"Ramai juga yang masih bertenaga dan aktif dalam bola sepak walaupun sudah tidak memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti sukan itu," katanya.
Dalam pada itu, katanya, program 'reunion match' itu turut diserikan dengan penyampaian penghargaan kepada pensyarah dan bekas jurulatih, Fadli Musa dan Amran.